Perbandingan Ekonomi Tradisional dan Ekonomi Moden

 Terdapat beberapa perbandingan antara ekonomi tradisional dan ekonomi moden yang wujud di Tanah Melayu semasa zaman penjajahan British. Antara perbandingan utama ialah dari segi jenis kegiatan ekonomi yang dijalankan serta tujuan pelaksanaan kegiatan ekonomi tersebut.

Perbandingan antara jenis aktiviti

Dari segi jenis kegiatan ekonomi, ekonomi tradisional melibatkan aktiviti seperti pertanian sara diri, menangkap ikan, menternak haiwan dan mengutip hasil hutan. Kegiatan ini kebanyakannya dijalankan oleh masyarakat tempatan di kawasan luar bandar dengan menggunakan peralatan tradisional serta tenaga manusia. Aktiviti-aktiviti ini dilakukan secara kecil-kecilan dan tidak melibatkan pengeluaran yang besar (Hassan & Karim, 2019). Sebaliknya, ekonomi moden pula melibatkan kegiatan yang berskala besar seperti perlombongan bijih timah dan perladangan getah. Aktiviti ini diperkenalkan dan dikembangkan oleh pihak British dengan penggunaan teknologi yang lebih moden serta tenaga buruh yang ramai bagi meningkatkan pengeluaran hasil ekonomi (Rahman & Ahmad, 2021)..

Perbandingan antara tujuan kegiatan

Selain itu, terdapat juga perbezaan dari segi tujuan pelaksanaan kegiatan ekonomi. Ekonomi tradisional dijalankan terutamanya untuk memenuhi keperluan harian masyarakat seperti makanan, minuman dan keperluan asas keluarga. Hasil yang diperoleh biasanya digunakan untuk kegunaan sendiri dan hanya lebihan kecil dijual di pasar tempatan. Hal ini menunjukkan bahawa ekonomi tradisional lebih tertumpu kepada kelangsungan hidup dan kesejahteraan masyarakat tempatan (Yusof, 2020). Sebaliknya, ekonomi moden dilaksanakan dengan tujuan menjana keuntungan yang lebih besar melalui perdagangan dan eksport. British mengembangkan kegiatan seperti perlombongan bijih timah dan perladangan getah untuk memenuhi permintaan industri di luar negara, sekali gus memberi keuntungan kepada pihak penjajah (Ismail & Rahman, 2022).

Perbandingan antara penggunaan teknologi

Dari segi teknologi, ekonomi tradisional menggunakan peralatan yang sederhana atau tradisional seperti cangkul, parang, jaring dan perahu kecil. Aktiviti ekonomi ini lebih bergantung kepada tenaga manusia serta sumber alam semula jadi. Oleh itu, pengeluaran hasil biasanya lebih kecil dan proses kerja mengambil masa yang lebih lama (Hassan & Karim, 2019). Sebaliknya, ekonomi moden menggunakan mesin dan teknologi yang lebih maju bagi meningkatkan pengeluaran hasil. Penggunaan teknologi moden dalam perlombongan bijih timah dan perladangan getah membantu mempercepatkan proses pengeluaran serta meningkatkan hasil ekonomi untuk tujuan perdagangan dan eksport (Rahman & Ahmad, 2021).

Perbandingan antara lokasi

Selain itu, terdapat juga perbezaan dari segi lokasi kegiatan ekonomi. Ekonomi tradisional kebanyakannya dijalankan di kawasan kampung atau luar bandar, kerana masyarakat tempatan bergantung kepada tanah pertanian, sungai dan hutan sebagai sumber utama kehidupan. Kawasan ini biasanya jauh daripada pusat pembangunan ekonomi yang pesat (Yusof, 2020). Sebaliknya, ekonomi moden berkembang di kawasan bandar, lombong dan ladang yang menjadi pusat kegiatan ekonomi komersial pada zaman penjajahan British. Kawasan-kawasan ini dibangunkan dengan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan sistem pengangkutan bagi memudahkan aktiviti perdagangan (Ismail & Rahman, 2022).

Perbandingan antara penglibatana kaum

Seterusnya, perbandingan juga dapat dilihat dari segi penglibatan kaum dalam kegiatan ekonomi. Dalam ekonomi tradisional, kegiatan ekonomi kebanyakannya dijalankan oleh masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan kampung dan menjalankan aktiviti seperti pertanian dan perikanan. Manakala dalam ekonomi moden, kegiatan ekonomi melibatkan buruh dari kaum Cina dan India yang dibawa masuk oleh British untuk bekerja di sektor perlombongan dan perladangan. Buruh Cina kebanyakannya bekerja di lombong bijih timah, manakala buruh India ditempatkan di ladang getah. Keadaan ini menunjukkan bahawa sistem ekonomi pada masa itu turut menyebabkan pembahagian pekerjaan mengikut kaum dalam masyarakat (Rahman & Ahmad, 2021).