Kesan penjajahan British yang membawa kepada kewujudan dwi ekonomi.

Jurang Ekonomi
Berdasarkan rajah di atas, kesan pertama dwi ekonomi terhadap masyarakat ialah jurang ekonomi antara kaum berlaku apabila wujud perbezaan pendapatan dan peluang ekonomi antara kaum yang berlainan. Semasa era penjajahan British di Tanah Melayu, kaum Cina yang bekerja di lombong bijih timah dan kaum India yang bekerja di ladang getah memperoleh pendapatan yang lebih tinggi kerana terlibat dalam ekonomi moden yang memberikan gaji tetap dan peluang pembangunan. Sebaliknya, orang Melayu kekal di kampung dan terlibat dalam pertanian serta perikanan, yang memberikan pendapatan rendah dan tidak stabil. Perbezaan ini mewujudkan ketidakseimbangan ekonomi yang ketara antara kaum, di mana kaum yang terlibat dalam sektor moden lebih cepat kaya manakala kaum Melayu kekal sederhana. Jurang ekonomi ini bukan sahaja menjejaskan taraf hidup, tetapi juga akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan, dan pembangunan sosial masyarakat (Andaya & Andaya, 2017).

Kesan Pengasingan Penempatan
Kesan seterusnya ialah,pengasingan penempatan berlaku apabila kaum-kaum di Tanah Melayu semasa era penjajahan British tinggal di kawasan yang berasingan mengikut pekerjaan mereka. Orang Melayu kekal di kampung dan menjalankan kegiatan pertanian atau nelayan, manakala kaum Cina tinggal di bandar atau kawasan lombong, dan kaum India ditempatkan di ladang getah. Perbezaan lokasi ini menghadkan interaksi sosial antara kaum serta mengekalkan identiti berasingan. Akibatnya, peluang untuk murid dan masyarakat belajar tentang budaya dan cara hidup kaum lain menjadi terhad, sekaligus mengekalkan pemisahan sosial yang berlaku dalam masyarakat (Andaya & Andaya, 2017; Kementerian Pendidikan Malaysia, 2018).

Kesan Pemisahan Kaum
Selanjutnya, kesan pemisahan kaum dari segi ekonomi dan sosial memberi impak besar terhadap perpaduan dalam sesebuah negara, khususnya dalam pembinaan negara bangsa. Apabila setiap kaum terlibat dalam sektor ekonomi yang berbeza, interaksi antara mereka menjadi terhad. Keadaan ini mewujudkan jurang sosial serta mengurangkan kefahaman terhadap budaya dan cara hidup kaum lain (Ismail, 2021).Selain itu, pemisahan tempat tinggal seperti di kampung, bandar, dan estet turut mengukuhkan pengasingan antara kaum. Masyarakat yang hidup dalam kelompok sendiri cenderung membina identiti berasaskan kaum masing-masing, bukan sebagai satu identiti kebangsaan yang bersatu .Akibatnya, semangat perpaduan menjadi lemah dan mudah timbul prasangka, stereotaip, serta salah faham antara kaum. Situasi ini boleh mencetuskan ketegangan sosial jika tidak ditangani dengan baik. Dalam jangka panjang, usaha membentuk identiti kebangsaan selepas kemerdekaan menjadi lebih mencabar kerana kurangnya hubungan antara kaum. Oleh itu, dasar seperti pendidikan kebangsaan dan pembangunan ekonomi seimbang diperkenalkan bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional (Hassan, 2023).

Kesan Jangka Panjang
Kesan Berpanjangan merujuk kepada impak jangka panjang akibat pemisahan ekonomi dan sosial yang masih dirasai walaupun selepas kemerdekaan.Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan, jurang ekonomi antara kaum masih wujud dan dapat dilihat dalam aspek seperti pendapatan, pemilikan harta, peluang pekerjaan, dan akses kepada pendidikan. Keadaan ini berlaku kerana struktur ekonomi yang dibentuk sejak zaman penjajahan tidak berubah secara serta-merta.Akibat jurang ini, wujud ketidakseimbangan dalam taraf hidup antara masyarakat. Ada golongan yang lebih maju dalam sektor ekonomi tertentu, manakala yang lain masih ketinggalan. Situasi ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan ketidakadilan sosial jika tidak ditangani dengan baik (Yusof & Lee, 2022).Oleh itu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar pembangunan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mengurangkan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Usaha ini bertujuan merapatkan jurang ekonomi antara kaum serta memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil (Hassan, 2023).Secara keseluruhannya, kesan berpanjangan ini menunjukkan bahawa warisan sejarah memberi impak besar kepada keadaan semasa, dan memerlukan usaha berterusan bagi mencapai perpaduan serta keadilan sosial dalam negara.